Abu Hanifah percaya manusia tidak melakukan perbuatan menurut kuasa dan kehendaknya. Biarpun telah disebutkan tadi mengenai perbualannya dengan al-Imam Musa al-Kazim (‘a.s) yang jelas menepati logik akal, dia masih tidak mahu mengubah kepercayaannya.
Pada suatu ketika, pendapatnya itu telah menyebabkan berlakunya suatu tragedi.
Behlul bermaksud pintar dan pemimpin. Ia adalah nama kepada seorang sahabat al-Imam Ja‘far al-Sadiq (‘a.s) yang terkenal yang hidup sehingga zaman al-Imam ‘Ali al-Naqi (‘a.s) dan sempat melihat al-Imam Hasan al-‘Askari (‘a.s).
Berdasarkan perubahan nasib, biasanya beliau dirujukkan sebagai Behlul Majnun (Behlul yang gila). Ini kerana beliau berpura-pura menjadi gila untuk menyelamatkan nyawanya dari tugas-tugas penghakiman yang ditawarkan kepadanya oleh Khalifah Harun al-Rasyid.
Namun begitu dengan “ kepintarannya ” itu, dia mengambil kesempatan daripada perangai kegilagilaannya dengan selalu menentang tokoh-tokoh besar pada zamannya (termasuklah raja-raja) menerusi kelemahan-kelemahan mereka sendiri.
Pada suatu ketika, dia terdengar Abu Hanifah (yang tinggal di Kufah, Iraq) memberitahu para pengikutnya: “Saya mendengar tiga (3) perkara daripada al-Imam Ja‘far al-Sadiq (‘a.s) yang menurut pendapat saya adalah salah. Para pengikutnya itu lalu bertanya mengenai perkara-perkara tersebut. Abu Hanifah pun berkata:
“Pertama sekali, al-Imam Ja‘far al-Sadiq (‘a.s) mengatakan Allah (s.w.t) tidak boleh dilihat. Tetapi itu tidak benar. Seandainya sesuatu itu wujud, ia mestilah boleh
dilihat.”
“Kedua, beliau mengatakan syaitan akan disiksa dalam api neraka, tetapi hal itu mustahil berlaku kerana syaitan dijadikan daripada api. Bagaimanakah api boleh
memudaratkan sesuatu atau seseorang yang juga dijadikan daripada api?”
“Ketiga, beliau mengatakan perbuatan manusia dilakukan dengan kehendak dan kekuasaannya, dan manusia bertanggungjawab ke atasnya. Tetapi perkara itu
tidak tepat kerana semua perbuatan manusia dilakukan dengan kehendak dan kekuasaan Allah, dan Allah yang sebenarnya bertanggungjawab ke atas perbuatan tersebut.”
Pada ketika para pengikutnya baru hendak memujinya, Behlul mengambil segumpal tanah dan melontarkannya tepat ke arah Abu Hanifah. Gumpalan tanah itu tepat mengenai dahinya, lantas dia menjerit kesakitan. Para pengikutnya menangkap Behlul lalu Abu
Hanifah membawanya menemui Qadi.
Qadi mendengar aduan itu dan bertanyakan kepada Behlul sama ada tuduhan tersebut benar atau sebaliknya.
Behlul: “Wahai Qadi! Abu Hanifah mengatakan dia mengalami sakit yang kuat di kepalanya kerana terkena lontaran gumpalan tanah. Tetapi saya berpendapat, dia
berdusta. Saya tidak percaya kepadanya sehinggalah saya melihat “ sakit ” itu sendiri.”
Abu Hanifah: “Kamu benar-benar gila. Bagaimanakah aku dapat menunjukkan “ sakit ”
kepadamu? Adakah sesiapa yang pernah melihat “sakit”?”
Behlul: “Tetapi wahai Qadi! Tadi dia baru sahaja mengajarkan para pengikutnya, seandainya sesuatu itu memang wujud, ia mestilah boleh dilihat. Oleh kerana dia
tidak boleh memperlihatkan “sakit” itu, saya anggap berdasarkan kepercayaannya sendiri, dia tidak sakit sama sekali.”
Abu Hanifah: “Oh, sakitnya kepalaku!”
Behlul: “ Wahai Qadi, ada satu perkara lagi yang saya teringat. Dia juga memberitahu para pengikutnya oleh kerana syaitan dijadikan daripada api, maka api neraka
tidak boleh memudaratkannya. Sekarang, manusia dijadikan daripada tanah seperti yang dinyatakan oleh al-Qur’an, sedangkan gumpalan tanah jugalah yang mengenainya. Saya hairan bagaimana dia boleh mendakwa gumpalan tanah itu boleh memudaratkan manusia yang juga dijadikan daripada gumpalan tanah?”
Abu Hanifah: “Wahai Qadi, Behlul ingin melepaskan dirinya dengan omong-omongnya itu. Tolonglah balaskan dendamku kepadanya.”
Behlul: “Wahai Qadi, saya fikir Abu Hanifah ternyata salah membawa saya ke mahkamah ini. Dia baru saja memberitahu segala perbuatan manusia adalah dilakukan oleh Allah dan Allahlah yang bertanggungjawab ke atas perbuatan-perbuatan mereka. Sekarang, kenapakah dia membawa saya ke sini? Seandainya dia benar-benar sakit akibat terkena gumpalan tanah itu (yang saya sendiri cukup meraguinya berdasarkan hujah-hujah yang telah dijelaskan), dia sepatutnya mendakwa Allahlah yang mencederakannya dengan melontar gumpalan tanah itu.
"Kenapakah manusia yang tidak berdaya seperti saya dibawa ke mahkamah sedangkan semua perbuatan yang saya lakukan itu sebenarnya dilakukan oleh Allah?”
Qadi pun membebaskan Behlul.
Rujukan: http://almawaddah.hostei.com/
No comments:
Post a Comment